Tanjong Malim, 16 Mac – Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kisah yang menyayat hati apabila seorang ibu tua yang lumpuh ditinggalkan sendirian di hotel bajet. Namun, semua ini telah terjawab apabila si anak Amir akhirnya datang bertemu dengan ibunya dan menerangkan sebab-sebab beliau berbuat demikian.Isu ini juga turut diulas oleh UPSIdaily di sini sebelum ini.
Harian Metro 9 Mac 2012
Bak kata pepatah Melayu ‘tuah ayam nampak dikaki tuah manusia siapa yang tahu’ kehidupan dua beranak ini mula berubah apabila ada insan yang prihatin sanggup menolong mereka dengan memberikan kediaman dan pekerjaan kepada mereka.
“Saya akan mulakan hidup baru dengan emak di sini dan berharap dengan kerja baru ini, saya dapat membalas jasanya,” kata kata Amir Mohd Omar, 27, pemuda yang terpaksa meninggalkan ibunya, Faridah Maulud, 66, di sebuah hotel bajet, di Jalan Raja Muda di sini, minggu lalu.
Amir berkata demikian selepas menerima pekerjaan ditawarkan seorang usahawan besi keluli, Datuk Jamhuri Abdul Rahman, 43, di Kuala Selangor, semalam selain turut disediakan kereta dan sebuah rumah yang sudah dibayar sewa setahun untuk dia tinggal bersama ibunya.
Menurut Amir, dia amat menghargai kesudian Jamhuri untuk mengambilnya bekerja serta menyediakan tempat tinggal bersama ibunya dan kemudahan itu sama sekali tidak pernah terlintas di fikirannya.
“Semuanya bagaikan mimpi. Saya tidak tahu hendak kata apa. Yang pasti, tumpuan saya sekarang hanyalah untuk membawa mak tinggal bersama.
“Selain itu, saya juga akan bekerja dengan sebaik mungkin bagi membalas kepercayaan majikan yang memberi peluang kepada saya,” katanya ketika mengadakan pertemuan bersama Jamhuri.
Kisah Amir mendapat perhatian ramai selepas Harian Metro dalam laporannya 9 Mac lalu mendedahkan kisah ibunya yang lumpuh kebingungan apabila ditinggalkan bersendirian oleh Amir di sebuah hotel bajet selama empat hari hingga terpaksa dijaga kakitangan hotel berkenaan.
Berikutan laporan berita itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) membawa Faridah keluar dari hotel berkenaan dan menempatkannya di Pusat Sehenti JKM Sungai Buloh bagi membolehkan dia diberi penjagaan sewajarnya.
Persoalan mengenai tindakan Amir itu terjawab apabila Harian Metro berjaya menjejaknya dan dalam pertemuan dengan wartawan akhbar ini, Amir berkata dia bertindak sedemikian selepas hilang pertimbangan dan buntu berikutan masalah kesihatan dialaminya, selain tertekan dengan masalah kewangan berikutan pendapatannya sebagai pegawai pemasaran yang tidak seberapa.
HIDUP BARU...Jamhuri (dua dari kanan) memberi penerangan kepada
Amir (kanan) yang bakal bekerja di syarikatnya.
Sehari kemudian, Harian Metro berjaya mempertemukan dua beranak itu di Pusat Sehenti JKM Sungai Buloh hasil kerjasama pengarah JKMWPKL, Noormah Abdul Rauf.
Sementara itu, Jamhuri berkata, dia terpanggil untuk mengambil Amir bekerja di kilangnya kerana mahu pemuda itu mengubah kehidupannya kepada yang lebih baik dan tidak mengabaikan ibunya.
Menurutnya, selepas membaca laporan Harian Metro minggu lalu dia menghubungi JKM untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Amir dan ibunya sebelum dihubungi wartawan bagi mengaturkan pertemuan.
“Saya berharap dengan peluang yang ada ini, Amir akan dapat mengubah tahap hidupnya selain menjaga ibu seperti dihajatinya,” katanya.
- MYMETRO
Pihak UPSIkena ingin menasihatkan kepada diri sendiri dan mahasiswa agar berbuat baiklah kita kepada ibu bapa kita kerana kita haruslah ingat dan sedar bahawa ‘Redha Allah adalah terletak pada redha ibu bapa kita terhadap kita. Kalau ibu bapa kita marah atau kecil hati dengan kita, maka jawabnya susahlah hidup kita. Bukan hanya di dunia jer tak selamat (tiada keberkatan), malah lebih teruk nasib kita di akhirat nanti. Sementara mereka masih hidup ini, cubalah berbakti kepada mereka seberapa banyak yang boleh.
No comments:
Post a Comment