Wednesday, 21 September 2011

Membentuk Budaya Politik Kampus Yang Murni


MINDA PENGARANG : Alis Syamsul


Belajar sambil mencabar


Pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang


Bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin


Berpengalaman (mencabar) DAN terpelajar - Prof. Ungku A. Aziz (1973)



Setiap tahun akan berlaku pilihanraya kampus di seluruh negara terutama sekali yang membabitkan institusi pengajian tinggi dan kolej universiti. Reaksi bercampur-campur pelajar mengenai pilihanraya kampus juga memberi kesan yang pelbagai kepada institusi pengajian yang terlibat. Ada pelajar yang melihat pilihanraya kampus sebagai acara rutin memilih pelajar dan tidak memiliki hubungan langsung dengan kehidupan pelajar itu sendiri sekaligus tidak mempedulikan apa yang berlaku. Terdapat juga pelajar yang mengambil sikap menjauhkan diri daripada pilihanraya kampus dan melihatnya sebagai medan perebutan golongan oportunis menonjol diri dan membina nama.


Namun walau apapun alasannya, sudah pasti, pihak universiti sepatutnya mengadakan pilihanraya peringkat pelajar memiliki tujuan yang sepatutnya memberi keuntungan untuk pelajar di dalam pelbagai bentuk baik dalam jangka masa pendek mahupun jangka masa yang panjang. Masakan tidak, majoriti besar kakitangan universiti terlibat dan perbelanjaan yang besar dikeluarkan untuk melaksanakan salah satu rutin proses demokrasi diperingkat pelajar. Sudah pasti antara tujuan utama diadakan pilihanraya peringkat pelajar ini untuk melatih generasi muda melalui proses untuk dipilih serta memilih. Secara tidak langsung juga mendidik generasi muda berhadapan dengan proses memilih pemimpin peringkat umur mereka. Pelajar diminta untuk membuat keputusan baik keputusan menawarkan diri atau diminta bertanding, ataupun membuat keputusan untuk memilih calon yang terbaik.



Tetapi alangkah malangnya jika masa, tenaga dan tumpuan kerja untuk melaksanakan perjalanan pilihanraya kampus diakhiri dengan sentimen benci membenci, tuduh menuduh dan penuh dengan manipulasi seperti politik kepartian di luar kampus. Kita realistik, pemilihan pemimpin peringkat pelajar ini tidak akan menyelesaikan semua masalah yang ada diperingkat pelajar. Adalah tidak adil kepada bakal pemimpin pelajar diletakkan harapan yang tinggi untuk mengubah segala-galanya, menyelesaikan segala kemelut dan kebajikan pelajar yang menjadi tanggungjawab universiti.


Di samping kewujudan program rutin pelajar dan universiti seperti pesta konvokesyen, pemimpin pelajar yang terpilih juga perlu menjadi pemimpin yang mampu merubah persepsi rakan sebayanya mengenai potensi generasi muda dari seorang pelajar biasa kepada pelajar yang miliki idealisme tentang cita-cita hidup merentasi pembinaan moral dan akhlak seseorang individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Kita juga melihat pemimpin pelajar yang dipilih perlu menjadi pemimpin pembina budaya (culture builder).


Memimpin para pelajar untuk membina budaya tinggi yang berkait rapat dengan budaya ilmu dan segala ciri-ciri yang perlu ada dalam pembinaan sebuah tamadun unggul. Kita juga optimis agar pemimpin pelajar yang akan dipilih nanti mampu menjadi model kecemerlangan akademik dan memiliki keyakinan diri dalam memimpin. Di samping kepimpinan pentadbir universiti dan pemimpin negara, umat juga idamkan kelahiran pemimpin pelajar yang mampu merungkai dan membawa keluar kerumitan dan kegelisahan masyarakat yang membimbangi masalah sosial dan jenayah yang sudah menular dikalangan pelajar.


Oleh itu, pertimbangan memilih pelajar tidak wajar disandarkan kepada dari kumpulan atau parti tertentu. Melabelkan pelajar sebagai pro kepada kumpulan tertentu hanya mengelirukan pelajar dan memerangkap pelajar berfikir dalam kerangka berparti sama seperti pilihanraya di luar kampus. Pemikiran pelajar perlu dibebaskan dari diwarnai dengan partisan politik luar. Biarkan pelajar menentukan siapa yang dirasakan punya kredibiliti dan akhlak yang baik. Pemilihan yang paling releven diperingkat kampus ialah memilih berdasarkan keupayaan dan potensi yang ada pada calon terbabit dalam rangka peraturan yang telah ditetapkan. Bukannya disandarkan sebab emosi, kumpulan sendiri atau sebab pilihan sesiapa pun yang meminta untuk memilih calon tertentu. Kekuatan calon terutama sekali pelajar Islam perlu ditandai dengan ciri al-mu’minu`l-qawiyy (mu`min yang kuat) dan keunggulan peribadi al-qawiyyu `l’-amin (watak yang gagah dan amanah)


Pilihanraya kampus perlu menjauhi elemen manipulasi dan penyelewengan urusan pilihanraya baik melalui surat layang, media elektronik ataupun apa bentuk manipulasi sekalipun. Mahasiswa harus matang dan mampu membezakan nilai surat layang ataupun harga sebuah berita palsu yang tersebar berbanding dengan maklumat yang memiliki autoriti atau kebenarannya. Di sini latihan yang paling baik untuk mahasiswa melatih diri menapis dan menilai sebarang manipulasi sebelum sampai ke peringkat menjadi pemimpin sesebuah institusi atau negara yang sudah pasti berhadapan dengan rencam politik serantau dan antarabangsa yang serba kompleks dan lebih mencabar. Kita perlu bijak menilai pilihannya yang baik, walaupun kita sedar bahawa risiko membuat keputusan dalam acara seperti pilihanraya kampus tidak seberat membuat keputusan besar yang dilakukan oleh pemimpin diperingkat negara.


Budaya politik peringkat pelajar universiti perlu miliki kecenderungan murni atas asas budaya ilmu yang dipandu oleh nilai agama dan budaya sopan bangsa kita. Kerjasama dan persefahaman antara pelajar dan pentadbir universiti penting sangat penting untuk membentuk warna pilihanraya kampus. Suasana dalam institusi pendidikan sangat bergantung kepada komitmen terutama peringkat pelajar dan pentadbir untuk memastikan kemurnian dan kelancaran acara tahunan ini memberi kesan budaya yang baik dan bukan sebaliknya.


Pilihanraya peringkat mahasiswa bukan medan merebut kuasa seperti mendapatkan kerusi dewan undangan negeri atau parlimen. Pemilihan peringkat kampus bukannya medan membalas dendam atau menunjuk siapa yang lebih gagah dan lebih kuat. Tetapi kawasan universiti adalah tempat yang subur untuk menyemai hikmah dan adab sebagai mana yang tergambar melalui tema Taman Ilmu dan Budi yang diperkenalkan oleh Prof. Dr. Kamal Hassan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


Universiti perlu menjadi taman yang subur membina lebih ramai rakan yang membina, mengangkat martabat dan akhlak insan serta mendorong seluruh penghuni universiti menjadi agen pendidik masyarakat dan bukannya menjadi liabiliti kepada masyarakat. Mahasiswa wajar menentukan sendiri iklim politik bagaimana yang kita inginkan. Mahasiswa punya pilihan untuk berbuat demikian. Tetapi jika kita memilih untuk menjadi wakil suara mana-mana kumpulan atau parti politik, maka yang akan menang bukanlah pelajar tetapi pendana atau penyumbang kepada kumpulan tersebut.


Kita perlu mandiri dan bebas memilih jalan membina kepimpinan pelajar tanpa mengorbankan rasa hormat dan kagum sebilangan besar pelajar kepada beberapa parti politik diperingkat nasional yang sememangnya punyai pengaruh besar dan peranan yang menyumbang kepada perjalanan politik negara ini. Mahasiswa perlu mengembalikan keyakinan masyarakat kepada kemurniaan dan kemuliaan universiti melalui budaya politik yang akan menjadi cerminan kepada kematangan kepimpinan pelajar di institusi pengajian tinggi. Kita sedar cita-cita masyarakat yang ingin melihat mahasiswa terdidik dan terbina dengan segala pengalaman berguna baik terlibat dengan kepimpinan pelajar peringkat majlis perwakilan mahupun kelab yang kecil.


Semua mahasiswa baik menjadi pemimpin peringkat universiti atau tidak adalah sama dan tidak pula meletakkan mereka yang terpilih itu menjadi lebih dalam segala hal. Kita semua punyai amanah ilmu dan pengalaman menjadi mahasiswa yang perlu disalurkan kedalam gelojak masyarakat yang dahagakan pimpinan dan dorongan graduan universiti yang akan menjadi hati nurani umat kita kelak. Mahasiswa perlu menterjemahkan idea dan cita-cita murni kita melalui pendekatan yang lebih operatif dan praktis diperingkat masyarakat dan bukannya berlegar disekitar dewan kuliah.


Lanskap gerakan pelajar telah berubah seiring dengan usia kemerdekaan negara dan usia sesebuah institusi pendidikan itu. Keperluan, cabaran dan masalah masyarakat berubah seiring dengan usia perjalanan sebuah negara seperti Malaysia. Tetapi prinsip kebenaran dan keadilan akan terus subur zaman berzaman seiring dengan semangat kemanusiaan sejagat yang kita dukung. Suasana yang ada kini perlukan pelajar yang lebih matang dan terhadapan dengan ruang dan batasan yag ada. Perubahan politik konfrantasi kepada politik dialog (Mina ‘l-muwajahah ila l-hiwar) untuk menyampaikan pandangan pelajar perlu diraikan.


Pandangan pelajar yang mungkin betul dan mungkin silap ini akan mematangkan mahasiswa menyonsong masa hadapan negara. Segala ruang dan peluang (seperti pilihanraya kampus) yang ada untuk menyampaikan pandangan digunakan sebaiknya oleh semua pihak demi kebaikan bersama. Jangan perjudikan masa dan peluang mahasiswa untuk tujuan politik sementara. Kita bina atas semangat melihat masa depan Malaysia yang lebih baik daripada apa yang kita ada kini


Dalam satu kata-kata Almarhum bapak Mohammad Natsir, bahawa “pemimpin tidak lahir dibilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas di kancah, muncul di tengah-tengah pergumulan masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan seangkatannya, lalu diterima dan didukung oleh umat”.


1 comment: