Tuesday, 3 January 2012

MENUNTUT KEBEBASAN AKADEMIK ATAU KEBEBASAN POLITIK? REALITINYA: BAHAGIAN 1

Tanjong Malim, 3 Dis - Kita boleh perhatikan betapa kasihannya gerakan aktivis pelajar haluan kiri (dilihat kelompok pelajar paling lantang) yang masih berlegar-legar dalam kepompong sempit - budaya kemahasiswaan yang gagal keluar daripada kehendak politik nasional.
Saban tahun, ideanya bersifat sama meski pun batang tubuh dan nama gerakannya berubah-ubah: ia tetap berorientasi politikal, retorik dan tidak menyelesaikan masalah. Sungguh pun secara kasarnya ia kelihatan konsisten dan seolah-olah silih berganti menyambung usaha kumpulan terdahulu bagi mencapai matlamatnya, namun terlalu banyak yang boleh diragukan.

Misalnya yang terbaharu, kita dikecohkan dengan himpunan Gerakan Mahasiswa Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) dengan enam tuntutan klise. Mari kita bahaskan beberapa tuntutan terbabit:

(i) Mansuhkan AUKU, AKTA 174 dan AKTA 555

Akan halnya berkenaan AUKU, barangkali kita wajar tanyakan adakah mereka benar-benar sudah memperhalusi akta ini. Memansuhkan AUKU merupakan kerja besar yang melibatkan penstrukturan semula tatacara pentadbiran, legitimasi penubuhan, kaedah tatatertib dan perlembagaan universiti.

Jika tiada satu akta yang mengabsahkan penubuhan universiti - bagaimana hendak diiktiraf universiti itu (seksyen 6)? Bagaimana peruntukan kewangan melalui parlimen boleh hendak disalurkan ke universiti (seksyen 11)? Bagaimana undang-undang dapat mengesahkan pengambilan kawasan tanah untuk kegunaan universiti (seksyen 13)? Dan apatah lagi AUKU mengabsahkan perlembagaan universiti (seksyen 8)yang antaranya mengaturkan pesta pilihan raya kampus!
  
Kita mahu bertanya lagi - adakah dengan pemansuhan AUKU, autonomi akademik terjamin? Walhal,seksyen 17(2) Jadual Pertama memberi kuasa kepada Senat universiti untuk menentukan hal ehwal akademik; bahkan universiti turut dilindungi daripada gejala rosak akademik - 'universiti/pengijazahan palsu' (seksyen 24) dan dilindungi Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 bagi melindungi autonomi universiti (seksyen 24B).
Kita tak menyentuh lagi berkenaan hal ehwal kebajikan, penentuan kenaikan pangkat, kewajiban universiti menyediakan itu ini dan beberapa yang lain. Dan satu lagi, jika benar mereka teliti, dapat ditemui bahawa Perlembagaan Universiti (dalam Jadual Pertama, sek 5) betapa AUKU menjamin tiadanya diskriminasi ras, jantina, agama, bangsa dalam mengambil ahli universiti.         
Maka yang demikian, kita pun tertanya-tanyalah, mereka sebenarnya faham atau tidak fungsi AUKU ini? Begitu juga dengan Akta 174: Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) dan Akta 555: Akta Institusi Pengajian Swasta.*

* Kerja gila mahu mansuh Akta 555 sebab daripada 99 seksyen, hanya lima yang menyentuh tentang tatatertib pelajar dan hanya satu yang menyentuh larangan politik (seksyen 47)!!!
Setakat apa yang dihebahkan kumpulan seperti ini, yang dimahukan ialah kebebasan (berparti, bersuara, berhimpun dan berpersatuan) dan sangat mirip dengan kehendak politik. Kita tak pasti sejauh mana kebebasan itu - adakah sekadar yang menyentuh seksyen 15 (untuk pelajar) atau sehingga meliputi semua kakitangan? Adakah sehingga perlu ditiadakan Kaedah Tatatertib yang mencakupi larangan meniru dalam peperiksaan, minum arak, berkelakuan sumbang, bahan lucah dan sebagainya - begitukah pengertiannya?
Kita boleh mendakwa tuntutan mansuhkan AUKU ini dibuat dengan sangat dangkal kedalaman fahamnya. Lainlah kalau dinyatakan dengan teliti, satu persatu apakah bentuk kebebasan yang dituntut. Bagaimanakah draf alternatif sekiranya AUKU dimansuh, sebab universiti perlu berjalan dengan sistem dan keabsahan undang-undang.

Maka beranilah kita mendakwa pula ini bukanlah usaha bersungguh untuk mencapai misi kebebasan akademik sebenar - sebaliknya dijadikan alat untuk milling, berhimpun bagi melaksanakan agenda politik - sama ada bagi memenuhi kehendak tuan-tuan politik, keghairahan mengartikulasi rasa sokongan/kebencian terhadap parti, agenda publisiti diri atau niatnya begitu suci tetapi tindakannya begitu dikepung kedangkalan faham.
(bersambung)


No comments:

Post a Comment