Sunday, 8 January 2012

MENUNTUT KEBEBASAN AKADEMIK ATAU KEBEBASAN POLITIK? REALITINYA: SIRI AKHIR

Kempen Saya Sayang UPSI!!!
Kami Tidak Rela UPSI dicemari dengan anasir luar!!!

Tanjong Malim, 8 Jan - Dalam 3 siri yang lepas, kita sudah membahaskan beberapa isi yang menunjukkan:

i) Betapa mungkin AUKU ini tidak difahami secara keseluruhannya
ii) Bidasan terhadap tuntutan mansuh AUKU yang  hanya berhujahkan hal kebebasan
iii) Betapa longgarnya AUKU dan kuat kuasanya
iv) Bidasan terhadap kesungguhan BEBAS dan tuntutannya

Yang semua ini akhirnya menunjukkan bahawa kebebasan yang dituntut oleh BEBAS bukanlah sejujurnya 6 tuntutan itu, sebaliknya ia lebih berkepentingan politik.

Dalam 6 tuntutannya, tuntutan yang ke-2: bebaskan ilmuan berakademik adalah yang paling mustahak. Ini teras sebenar dalam kebebasan akademik, seyogianya.

Tuntutan bebaskan ilmuan berakademik sepatutnya wajib diperhalusi terlebih dahulu sebelum beria-ia mahu memilih untuk berbaring di atas jalan raya atau berkonfrontasi dengan pihak polis.
Banyak soalan kita boleh tanyakan:

i)                Batas apakah yang dikenakan ke atas para ilmuan untuk berakademik dan yang mana hendak dihapuskan?

BEBAS tidak menjelaskan, atau setidaknya menyenaraikan yang manakah menjadi kekangan akademik universiti. Mungkin batas undang-undang seperti yang tertakluk dalam Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan - seperti disekat undang-undang anti subversif, menyentuh sensitiviti kaum, membangkitkan kebencian terhadap YDPA dan lain-lain. Adakah BEBAS menuntut perlunya imuniti terhadap kegiatan akademik universiti daripada tertakluk di bawah juridiksi seperti itu?

ii)                Adakah kebebasan ini mencakupi autonomi mutlak universiti?

Secara umum (memetik tafsiran akademikus Malaysia), juga memakai definisi kebebasan akademik di AS, autonomi akademik universiti merujuk kepada kebebasan universiti menentukan siapa yang mengajar, apa yang diajar, bagaimana ia diajar, pelajar baru yang dipilih, ijazah yang diiktiraf atau dianugerah, bidang, skop, tujuan dan kaedah penyelidikan.

Ini semua dijalankan sendiri oleh universiti dan kepada mereka yang gagal membaca AUKU, ia merupakan kuasa yang diberi kepada Senat universiti dalam Seksyen 17 (2) AUKU!

Bahkan pada 2008 di AS, negara yang paling giat mempromosi demokrasi dan liberalisme itu pun, melalui Mahkamah Persekutuan di Virginia memutuskan profesor (ilmuan) tidak berhak menghalang pengurusan tertinggi universiti untuk mengubah markah pelajar!


iii)         Manakah senarai kes tuntutan ilmuan yang dikatakan tidak bebas itu?

Bagi pengamat/pengkaji, senarai kes ini sangat diperlukan kerana, tanpa senarai ini, bagaimanakah perubahan dapat dibuat - atau bagaimanakah tuntutan dapat dipenuhi? Kita boleh merungut itu dan ini, tetapi rungutan itu sangat ringkas. Hanya bebel panjang dan retorik lantang yang tiada isi jelas.

Apakah dilema kebebasan yang dialami oleh seorang ilmuan bidang biologi di UPM (misalnya), seorang pensyarah dihalang membuat kajian berhubung pengklonan kerana batas agama? Atau terdapat kes aduan seorang mahasiswa sains komputer dihalang mencipta virus komputer? Atau seorang mahasiswa undang-undang dihalang mencabar keabsahan mana-mana statut melalui kajian akademiknya?

iv) Adakah melibatkan pentadbiran, pengurusan dan kewangan?

Adakah berkenaan peruntukan geran penyelidikan? Adakah melibatkan lantikan? - Yang kesemuanya ini tidak perlu ada campur tangan pihak luar universiti?

Kebebasan politik

Kita ada banyak pertanyaan dan panjang perbahasan untuk kebebasan akademik ini. Oh ya, kita ingin mengusiklah kumpulan BEBAS ini dengan pertanyaan - sejauh manakah mereka sendiri selaku ahli universiti, memenuhi ruang akademik yang sedia ada dalam bidang pengajian mereka?

Yang bidang pendidikan (perguruan) - sudahkah mereka temui kaedah mendidik ilmu kemanusiaan pada anak kecil selain daripada menggunakan kaedah Jean Piaget semata (misalnya). Atau berapa banyakkah pelajar ini berjaya menterjemah magna opera (karya agung) hasil intelektual? Atau bebaskah mereka daripada kegiatan plagiarisme ketika bertesis?

Yang bidang syariah, sains pertanian, pengajian bahasa, multimedia, undang-undang dan berpuluh yang lain - berapa banyak usaha mereka dalam menemukan teori, atau antitesis atau mencipta teknologi, atau membuktikan sesuatu yang berguna dalam dunia akademik?

Atau setidaknya, memandangkan mereka ini kurang cemerlang keputusan CGPA nya, datangkanlah satu idea bagaimana sistem penilaian yang sedia ada dapat diganti dengan yang lebih berkesan.

Sayang sekali, ruang yang sedia ada tidak dipedulikan. Secara peribadi, saya lebih setuju mengatakan yang bermasalah sebenarnya ialah idea - pemikiran beku pelajar yang dikongkong oleh kerja politik! Kerangka fikir pelajar yang terlibat dalam gerakan ini tidak dapat keluar daripada lingkaran yang disediakan parti politik topangannya!

Yang kalut-kalut berpuluh tahun - yang bergolek-golek di atas jalan raya, yang berkonfrontasi dengan kumpulan lain - ini semua kerja hendak mencari kebebasan mengkritik parti pemerintah, yang akhirnya bertujuan untuk menumbangkan kerajaan sedia ada.

Tuntutan kebebasan akademik ini hanyalah satu bahan retorik, yang gerak kerja utamanya ialah gerakan berkonfrontasi terhadap parti pemerintah. Kita telah bahaskan betapa tak bersungguhnya, dan betapa tidak jujurnya tuntutan ini, bahkan, tidak relevan pula.

Lihat ringkasannya: Mansuh AUKU dan akta lain sebab seksyen yang menghalang kegiatan politik (termasuk berhimpun, bersuara), bebaskan ilmuan berakademik sebab mahu ilmuan bebas mengkritik parti pemerintah dan himpunan mereka di PWTC dan UPSI jelas mengheret figura politik bersama mereka.

Walhal, yang dibangkitkan itu adalah peratusan kecil daripada gambaran luas yang tidak berbaloi sekiranya gambaran luas itu dihapuskan.

Kita juga boleh bertemu dengan banyak analisis kaitan gerakan kumpulan ini dengan strategi besar politik sempena peristiwa 901 kelak.

No comments:

Post a Comment